Resepi Kerepek Pisang Rangup
Masakan / Resepi

Resepi Kerepek Pisang Rangup Usahawan PeDAS

Kerepek, tak kira apa jenis kerepek memang menjadi kesukaan, malahan boleh dikatakan menjadi kegilaan di dalam keluarga saya. Tapi kalau dapat beli kerepek pisang, memang cepat je licin, sampai tak sempat nak transfer dari plastik ke balang. Sebab itu, saya selalu pastikan ada stok kerepek kat rumah. Tapi kadang kala tak sempat pergi beli jadi saya akan buat sendiri menggunakan resepi kerepek pisang rangup usahawan PeDAS iaitu Program Perkhidmatan E-Dagang Setempat yang dinaungi oleh MDEC.

Pisang yang boleh digunakan untuk dijadikan kerepek adalah seperti pisang abu, pisang tanduk, pisang nangka atau pisang nipah. Pisang lain pun boleh juga, yang penting adalah pisang tersebut hendaklan pisang yang belum masak. Kalau dah masak, walaupun baru je masak, tak best dibuat kerepek. Nanti masa sagat tu dia dah hancur, so cari pisang yang masih hijau dan belum masak.

Setelah memilih pisang kegemaran, bolehlah mula untuk menyiang pisang muda itu. Tips semasa menyiang pisang ini yang dikongsikan oleh Puan Siti dari Sandwich Terliur adalah dengan memakai sarung tangan getah untuk mengelakkan tangan kita terkena getah pisang tu. Tapi kalau takde sarung tangan getah, boleh lumurkan tangan dengan sedikit minyak masak.

Penyagat yang kita gunakan pun mestilah yang masih tajam sebab kalau dah tumpul, nanti akan rosakkan tekstur pisang tu. Biasanya kalau dah tak tajam, pisang akan mudah tersangkut masa menyagat, jadi lebih baik beli penyagat baru kat Kedai ECO sahaja.

Sediakan juga sebekas air tapis yang diletakkan garam untuk kita masukkan pisang-pisang yang telah dikupas. Kena terus masukkan pisang ke dalam air garam untuk elakkan pisang teroksida dan sebabkan pisang bertukar warna kepada kehitam-hitaman.

Selain itu, tumbukkan beberapa ulas bawang putih dan tumbukkan dengan sedikit garam. Kemudian campurkan dengan setengah cawan air. Adunan ini akan dimasukkan ke dalam kuali semasa sedang menggoreng pisang nanti. Ini adalah untuk memasinkan kerepek di samping menjadikan ianya lebih rangup.

Bahan-bahannya:

Pisang

Sebesen air dan garam

Bawang putih ditumbuk dengan garam dan dicampur setengah cawan air

Cara-caranya :

1. Buang kulit pisang dengan bersih. Pastikan tiada kulit yang tertinggal untuk elakkan kerepek pisang kehitam-hitaman selepas digoreng. Pakai sarung tangan untuk elakkan getah melekat ke tangan.

2. Rendamkan pisang yang dibuang kulit terus ke dalam besen air garam. Ini untuk mengekalkan warna asli pisang tersebut.

3. Panaskan minyak yang banyak. Sebab saya ni tak pandai sangat, jadi saya selalu gunakan minyak yang menutupi separuh kuali. Kalau bagusnya, minyak penuh atau 3/4 kuali tapi saya tak berani hahaha.

4. Ambil pisang yang terendam dalam air garam tadi dan mulakan menyagat 3 ke 4 biji pisang. Dan terus masukkan pisang ke dalam kuali dan kacau laju supaya tidak melekat.

5. Bila dah masak dan garing, angkat dan toskan. Ulang langkah 4 sehingga pisang habis. Kenapa kena sagat sikit-sikit? Sebab nak elakkan pisang melekat sebelum sempat digoreng.

6. Kalau suka, lepas ditoskan, boleh tabur garam jika suka masin dan gula juga untuk tambahkan manis pisang.

Kalau tak nak goreng sendiri, boleh pesan terus dengan MF Kerepek Mart seperti info di bawah.

Facebook – MF Kerepek Mart

Instagram – MF Kerepek Mart

Whatsapp – MF Kerepek Mart

Semoga bermanfaat!