Restoran Kelisa, Bandar Baru Bangi dan Perkongsian Dalam Seminar Jutawan Legasi

Teks : Saudah Salleh

Kami ke Bangi pada 12 Januari 2014 yang lalu. Tujuan utama adalah menyumbang tenaga untuk Seminar Jutawan Legasi yang dikendalikan oleh sahabat kami.

Tanpa disangka, saya diminta untuk berkongsi ilmu dengan para peserta Seminar tersebut. Terkejut tapi teruja.

Setelah menguruskan pendaftaran peserta, kami sebagai krew boleh mendengar perkongsian berkaitan perlindungan. Menarik kerana banyak yang saya dan suami tidak tahu!

Takut juga bila memikirkan kehidupan anak-anak setelah kami berdua tiada. Atau kami masih hidup tetapi tidak dapat bekerja. Semua ini dikongsikan dalam seminar tersebut oleh Puan Nor’izah Adam.

Sesi perkongsian saya sangat ringkas. Masa diberikan hanyalah 10 minit. Berdasarkan kepada perkongsian Puan Nor’izah, saya teruskan dengan topik REKOD.

Sebagai usahawan, rekod-rekod perniagaan adalah antara perkara terpenting selain stok. Jika kita bermula dengan rekod perniagaan tidak tersusun, perniagaan kita akan sedikit kelam-kabut. Tambah lagi ianya semakin berkembang dan bertambah maju. Dengan pertambahan staf, tanggungjawab majikan akan lebih berat. 

Tetapi jika kita telah bermula berniaga, dan tidak menyimpan rekod dengan baik, maka jadikanlah tahun 2014 adalah tahun permulaan penyimpanan rekod-rekod tersebut.

‘Better late than never’.

Kemudian, untuk tengahari, kami semua ke Retoran Kelisa. Kawasannya sederet dengan Hospital An-Nur dan Hospital Az-Zahrah.

Geram saya tengok sotong ni. Besarnya melebihi tapak tangan saya! Pusing tengok lauk lain, tapi 3 kali juga alik ke tempat sotong. Maknanya memang rezeki nak makan sotonglah saya hari tu.

Pendapat saya tentang sotong ini. Kurang kena dengan tekak saya. Sebabnya mungkin dimasak terlalu lama, maka liatlah sotongnya. Rupanya gemuk sebab telur. Tapi saya kurang minat dengan telur sotong kecuali jika digoreng. Ingatkan ada isi pulut. Hihi. Rezeki saya, alhamdulillah.

Di Resotan Kelisa ini ada banyak pilihan lauk. Ikan bakar pun ada. Telur itik masak lemak cili padi pun sedap. Pucuk paku masak lemak pun lazat. Air minuman pun berasa. Tempat pun selesa.