Tips Membuat Kuih Frozen
Review Usahawan PeDAS

Tips Membuat Kuih Frozen dari Aizan Food PeDAS

Semasa berbual dengan Puan Nor Aizan Abdul Hamid, pengasas bagi kuih muih tradisional sejuk beku, saya ada maklumkan pada beliau bahawa membuat kuih adalah sangat susah dan cerewet serta mengambil masa. Dahlah resepi kuih-kuih tradisional ni selalunya menghasilkan adunan yang banyak, jadi saya tak pernah berminat nak buat sendiri kuih melayu tradisional ni. Kalau nak makan, beli sahaja, nasiblah kalau dapat yang tak sedap tu hehehe. Jadi saya kongsikan tips membuat kuih frozen dari Aizan Food PeDAS ini yang mendapat bimbingan dari MDEC.

Apa yang penting, ujar beliau, adalah kita mesti tahu membuat kuih-muih melayu ni mengikut citarasa kita sendiri. Maksudnya, kalaulah keluarga kita sukakan karipap kentang dengan ayam yang karinya berasa atau pedas, maka kita hendaklah membuat inti karipap dengan mengambilkira selera keluarga iaitu tambahkan ayam cincang dan lebihkan serbuk kari semasa memasak inti karipap. Barulah keluarga kita akan suka dengan karipap kita dan karipap kita akan laku setiap kali digoreng dan dihidangkan. Inilah memori yang patut kita cipta untuk anak-anak dan suami kita.

Baca mengenai Kuih Frozen Aizan’s Food di sini.

Tips Kuih Karipap Frozen

Ada 2 cara untuk menyimpan karipap iaitu tanpa menggoreng separuh masak atau dengan menggoreng separuh masak.

Jika tidak mahu menggoreng dahulu, susun karipap yang telah siap dikelim ke atas dulang tanpa bertindih antara satu sama lain dan flash freeze kan karipap itu. Flash freeze bermaksud kita letakkan ke dalam freezer selama 30 minit sehingga 1 jam sebelum dibungkus dengan plastik atau dalam bekas dan disimpan di dalam freezer.

Atau cara kedua adalah dengan menggorengkan karipap sehingga separuh masak dan sejukkan sebentar sebelum dibungkus dengan plastik atau dalam bekas dan disimpan di dalam freezer. Saya sukakan cara ini kerana lebih cepat dan mudah sebab jimatkan masa.

Tips Kuih Donut Frozen

Untuk donut, selepas diadun dan dibentuk, memang kena goreng separuh masak dahulu. Lepas goreng, biarkan sekejap sampai sejuk lepas tu bolehlah dibungkus dengan plastik atau dalam bekas dan disimpan di dalam freezer.

Oh semasa gorengan pertama iaitu separuh masak tu, tak perlu sirakan (salut dengan gula) donut ni ya, tunggu masa nak makan nanti baru goreng dan golekkan dengan gula pasir halus atau icing sugar.

Tips Kuih Gendang Kasturi atau Kuih Kacang Hijau Frozen

Satu lagi kuih yang perlu digoreng separuh masak sebelum disimpan dalam freezer. Selepas menyalut inti kacang hijau dengan adunan tepung, terus gorengkan sebentar. Ini supaya adunan tepung tu melekat cantik pada intinya dan kita akan dapat tekstur rangup untuk kulitnya. Saya tak minat kuih ni, saya cuma sukakan kulitnya yang rangup sahaja hehehe.

Baca kisah saya dengan kuih tradisional sejuk beku atau frozen di sini.

Tips Kuih Samosa Frozen

Satu je pesanan Puan Aizan, selepas menggoreng samosa separuh masak, toskan samosa dan tunggu sehingga minyak berhenti menitik. Pada masa ini biasanya samosa dah sejuk sedikit barulah kita simpan. Kalau kita tak toskan minyak tu, nanti kulit samosa menjadi berminyak dan soggy atau tidak rangup bila digoreng semula untuk dimakan.

Inilah Tips Membuat Kuih Frozen dari Usahawan PeDAS iaitu nama penuhnya adalah Program Perkhidmatan E-Dagang Setempat di mana semua usahawan program ini dibimbing oleh MDEC atau Malaysia Digital Economy Corporation.

Kalau tiada masa untuk membuat sendiri kuih muih ini, boleh membuat pesanan stok kuih dengan Aizan’s Food dengan cara ini.

1. Whatsapp – Aizan’s Food

2. Facebook – Aizan’s Food

3. Instagram – Aizan’s Food

Semoga bermanfaat!