Ramai orang yang bekerja atau mereka yang baru menceburi
bidang perniagaan yang bertanya saya tentang bagaimana untuk memulakan
perniagaan mereka. Tetapi, ramai mereka ini yang ingin berniaga a
pabila ditanya kenapa mereka
mahu berniaga, rata-ratanya akan menjawab “Sebab ingin kaya!” atau
“Ingin banyak duit!”. Tetapi berdasarkan pengalaman serta kajian saya
sendiri, saya mendapati hampir 90% yang baru berniaga, mereka bukan sahaja
tidak buat banyak duit, tetapi akhirnya mereka bukan sahaja “tutup
kedai” atau gagal serta mengalami kerugian atau menanggung hutang.

Saya bukan berniat menakut-nakutkan anda, tetapi
itulah hakikat mereka yang mula berniaga tanpa prinsip M.E.S.T.I (M=Mentor,
E=Elmu, S=Sistem/Strategi yang betul, T=Tindakan yang betul & I=Impian yang
jelas). Ramai yang ghairah melihat orang lain berniaga dan berjaya merubah
hidup mereka, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak ada
ilmu berniaga atau mereka tidak ada mentor yang terbukti berjaya yang mereka
boleh pelajari daripadanya dan mereka lebih rela “melanggar dinding”
menghabiskan duit, buang masa dan tenaga “mencuba nasib” di dalam
perniagaan baru yang mereka ingin mulakan.

Tahukah anda bahawa ada 9 formula atau langkah yang
anda perlu lakukan untuk anda meningkatkan peluang kejayaan di dalam sesebuah
perniagaan apatah lagi jika ianya akan menjadi perniagaan baru anda?

Pertama: Matlamat Perniagaan & Peribadi Yang
Jelas

Sebelum anda mula berniaga, anda perlu jelas dengan
apakah sebab utama anda ingin memulakan perniagaan tersebut? Kenapa anda ingin
berniaga? Apakah yang anda inginkan daripada perniagaan tersebut? Apakah
matlamat peribadi yang anda ingin capai dengan menggunakan perniagaan tersebut
sebagai alat? Apakah impian anda? Adakah anda lakukannya untuk orang-orang yang
anda sayangi? 

Kebanyakan mereka yang berjaya di dalam perniagaan
adalah mereka yang pada asalnya mempunyai matlamat yang jelas tentang kenapa
mereka mahu mulakan perniagaan tersebut. Dan ramai juga yang bermula dengan
tidak menyangka yang ianya akan menjadi perniagaan yang berjaya tetapi mereka
mempunyai matlamat peribadi pada asalnya yang mereka ingin capai. Contohnya,
Warren Buffet, salah seorang billionnaire dunia, lebih 35 tahun dahulu beliau
bermula hanya daripada minat beliau terhadap produk-produk baru yang ada
dipasaran dan menyebabkan beliau suka untuk membeli saham-saham yang ditawarkan
oleh syarikat pengeluar produk-produk tersebut dan akhirnya semua saham yang
beliau beli meningkat beratus ribu kali ganda berpuluh tahun kemudian. Mark
Zuckerberg bermula dengan matlamat peribadi untuk mengenali ramai gadis-gadis
di universitnya dan akhirnya terciptalah satu sistem internet yang dipanggil
“Facebook”. Ada sesetengah jutawan peserta program saya yang bermula
daripada tanpa wang atau sedikit wang di dalam poket mereka tetapi disebabkan
mereka bermatlamat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada orang yang
mereka sayangi, maka mereka mulakan perniagaan tersebut.

Kenapa matlamat yang jelas ini penting? Selain
daripada ianya dapat membantu anda untuk mempunyai fokus yang anda ingin capai,
ianya adalah lebih penting dikala anda berdepan dengan cabaran ataupun halangan
di dalam perniagaan anda supaya anda akan sentiasa ingat, kenapa anda mulakan
perniagaan tersebut dan untuk apa atau untuk siapa serta kenapa anda perlu buat
sehingga berjaya.

Tuliskan dengan jelas apakah matlamat yang anda
ingin capai serta tarikh ataupun tempoh bila anda mahu merealisasikan matlamat
tersebut. 

Kedua: Kenalpasti apakah masalah yang boleh
diselesaikan dengan menggunakan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi yang
bakal anda berikan?

Ya. Ini adalah sebab kenapa ramai usahawan
terutamanya usahawan baru gagal memasarkan produk atau perkhidmatan mereka
dengan berkesan. Ramai usahawan yang saya jumpa bila ditanya, apakah masalah
kritikal yang dihadapi oleh ramai orang yang menyebabkan mereka sangat
memerlukan produk atau perkhidmatan anda? Ramai usahawan ini tidak mampu
menjawabnya atau mereka menjawab tanpa keyakinan yang tinggi sehingga mereka
tidak mampu meyakinkan saya sebagai pelanggan untuk menggunakan produk mereka,
sedangkan produk mereka sebenarnya berkualiti tinggi.

Sebab itu amatlah penting untuk anda mengenalpasti
sebanyak mungkin masalah yang boleh diselesaikan lantaran menggunakan produk
atau perkhidmatan yang anda berikan. Contoh, sekiranya anda menjual karipap
panas berintikan daging serta kentang diwaktu petang dan ianya memang sangat
sedap. Masalah yang anda boleh selesaikan ialah anda menyelesaikan masalah
mereka yang ingin minum petang berbekalkan karipap panas dikawasan-kawasan
pejabat bukan? Anda juga menyelesaikan masalah isteri-isteri yang ingin
menghidangkan karipap panas sedap untuk anak-anak mereka serta keluarga diwaktu
petang dikawasan-kawasan perumahan. Anda juga menyelesaikan masalah mereka yang
rindu karipap panas masakan ibu mereka dikampung. 

Lebih banyak masalah yang anda boleh kenalpasti
yang bakal anda dapat selesaikan dengan produk atau perkhidmatan anda, maka
lebih mudah anda akan dapat pasarkannya serta lebih yakin orang dengan anda.

Ketiga: “Bootstrap”

Ramai orang yang beranggapan bahawa untuk berniaga,
anda perlukan modal wang permulaan yang besar. Terus-terang saya katakan bahawa
anda tidak semestinya bermula dengan modal yang besar, malah ramai peserta
program-program keusahawanan saya yang memulakan perniagaan mereka secara
kecil-kecilan dengan tanpa modal atau dengan modal yang paling minima terlebih
dahulu sehingga mereka benar-benar yakin untuk membesarkannya. Teknik memulakan
perniagaan tanpa modal ini dipanggil sebagai “Bootstrap”. Anda
mulakan dengan apa sahaja yang anda ada. Anda gunakan apa sahaja bakat, minat
atau kemahiran yang anda ada untuk ditawarkan kepada mereka yang perlukannya.
Atau ramai yang bermula dengan menjual produk atau perkhidmatan orang lain
terlebih dahulu. untuk menimba pengalaman serta mengumpulkan modal. Teori kisah
Mat Jenin adalah sangat berguna untuk diambil iktibar. Mulakan dengan mengambil
upah panjat kelapa, kemudian duit upah itu digunakan untuk membeli ayam, bila
ayam bertelur, jual telurnya dipasar, kemudian kumpul duitnya sehingga cukup
beli kambing, selepas bela kambing, jual susunya dan kemudian jual kambing
sehingga dapat beli lembu, apabila telah mempunyai lembu, perah susunya dan
jual sehinggalah satu hari nanti lembu semuanya boleh dijual dan Mat Jenin
menjadi kaya…. Masalah yang ada dalam kisah Mat Jenin adalah, ianya adalah
angan-angan sahaja tanpa tindakan. 

Tetapi, kita boleh ambil iktibar kaedah
“Bootstrap” yang digunakan serta kesabaran juga amat penting selain
daripada sentiasa bersedia untuk memperbaiki diri.

Keempat: Test, Trial & Adjust

Sekiranya anda ingin berniaga serta memasarkan
produk baru dipasaran ataupun anda ingin memasarkan perkhidmatan yang terbaru.
Anda perlu “menguji” permintaan dipasaran dengan menjalankan
percubaan serta ujian demi ujian dan bersedia mengubahsuai produk atau
pekhidmatan anda sehingga ianya benar-benar mudah diterima oleh pasaran. Tidak
ada produk yang baru dijual yang tidak diuji terlebih dahulu serta dibuat
kajian pasaran. Contohnya karipap berinti daging dan kentang yang ingin kita
pasarkan, ianya perlulah diberi makan kepada beberapa orang dalam tempoh
sesuatu masa dan mendapatkan maklumbalas jujur mereka agar anda dapat
mengubahsuai rasanya atau bentuknya sehingga anda benar-benar puashati sebelum
anda jual dipasaran. 

Kelima: Mengembangkan perniagaan menggunakan
keuntungan daripada perniagaan anda bukan dengan pinjaman

Formula ini amat kritikal di dalam perniagaan, apatah
lagi jika ianya adalah perniagaan baru. Hanya perniagaan yang untung ketika
kecil yang akan untung bila ianya besar nanti. Konsistensi di dalam keuntungan
akan membuatkan perniagaan anda mempunyai potensi aliran tunai yang bagus.
Perancangan kewangan serta menyimpan sebanyak mungkin keuntungan secara
konsisten akan membuatkan anda dapat mengembangkan lagi perniagaan anda tanpa
anda perlu meminjam. Contohnya, anda telah memulakan perniagaan karipap anda
ini secara kecil-kecilan dengan satu tapak. Dan tapak ini boleh berikan anda
keuntungan bersih RM100 sehari. Apabila anda kumpulkan sebahagian duit
keuntungan ini, maka ianya memungkinkan anda untuk membuka tapak yang kedua,
ketiga, keempat dan tapak-tapak berikutnya dengan mudah tanpa pinjaman. Bayangkan
jika dalam tempoh tertentu anda dapat mengembangkan tapak perniagaan anda
kepada 10 tapak, maka ini bermakna anda boleh mendapatkan keuntungan bersih
RM1,000 sehari melalui perniagaan karipap panas anda tersebut. Anda tidak perlu
meminjam untuk mengembangkan perniagaan anda.

Keenam: Pilih “tentera” anda dengan
teliti dan betul

Maksud “tentera” di sini adalah
pekerja.Tidak ada orang yang akan mampu melakukan semua perkara berseorangan.
Usahawan yang bijak adalah usahawan yang pandai memilih pekerja yang bagus
untuk membantu kejayaan perniagaannya. Dalam hal ini, anda perlu belajar
bagaimana memilih pekerja mengikut kriteria yang anda tentukan. Anda perlu
tuliskan “pekerja impian” yang anda mahukan sebagai satu garis
panduan anda di dalam memilihnya nanti.

Ketujuh: Mendapatkan fasiliti kewangan berdasarkan
aliran tunai perniagaan anda yang positif

Setelah anda berniaga di dalam satu tempoh waktu
dan anda berjaya konsisten di dalam keuntungan serta aliran tunai anda
menunjukkan peningkatan yang konsisten serta positif, anda akan meletakkan diri
anda serta perniagaan anda di dalam kategori usahawan yang mempunyai
kredibiliti untuk diberikan pinjaman. Walaupun adalah bagus jika anda boleh
mengembangkan perniagaan anda tanpa membuat sebarang pinjaman bank tetapi
sekiranya aliran tunai anda adalah positif dan bagus, anda mungkin layak untuk
mendapatkan fasilit atau pinjaman bank. Sebab itu amat penting untuk mempunyai
disiplin dengan memasukkan duit jualan anda ke dalam satu akaun anda atau akaun
perniagaan anda supaya ianya menunjukkan aliran tunai yang bagus dan konsisten.
Kesilapan ramai usahawan baru dan kadang-kadang yang lama adalah mereka tidak
memasukkan duit jualan mereka ke dalam akaun bank mereka terus, malah mereka
terus ambil duit tersebut untuk beli stok atau sebagai modal pusingan. Ini
merupakan kesilapan yang paling besar. Sekiranya satu hari nanti anda perlukan
fasiliti kewangan daripada pihak bank, mereka tidak berapa berminat dengan
“kisah” jualan perniagaan anda yang tinggi tanpa mereka dapat melihatnya
masuk ke dalam akaun bank anda. Fasiliti kewangan atau pinjaman bank akan lebih
mudah anda dapat sekiranya anda boleh menunjukkan aliran tunai yang konsisten,
positif dan bagus masuk ke dalam penyata akaun bank anda. 

Kelapan: Mulakan dengan berniaga secara sampingan

Ya benar! Sekiranya anda masih bekerja, saya
mencadangkan agar anda mulakan perniagaan anda secara sampingan. Saya mempunyai
peserta seminar saya yang suaminya masih bekerja sebagai seorang jurutera dan
isterinya seorang pembantu perubatan, tetapi mereka juga memiliki sebuah
perniagaan butik pakaian kanak-kanak dan bayi di sebuah pasaraya yang mereka
jalankan secara sampingan. Saya juga mempunyai beberapa orang lain yang masih
bekerja tetapi mengambil tempahan membuat kek dirumah setelah habis waktu kerja
mereka. Anda hanya akan berhenti kerja apabila anda sendiri benar-benar yakin
dengan perniagaan yang anda lakukan dan anda telah bersedia memberikan lebih
banyak masa untuk pulangan yang lebih daripada masa yang anda gunakan untuk bekerja.

Kesembilan: Kuasai pemasaran- Sentiasa bersedia
untuk “kembali ke sekolah”

Kunci utama kepada kejayaan sesebuah perniagaan
juga sudah pastinya bergantung kepada konsistensi pelanggan yang membeli
daripada anda bukan? Jika produk makanan yang anda buat adalah sangat sedap
tetapi jika tidak ada yang tahu serta mahu membelinya, maka anda mungkin
terpaksa makan sendiri produk-produk tersebut. Ramai usahawan baru dan lama
yang tidak sedar betapa pentingnya ilmu pemasaran supaya anda sentiasa menarik
ramai pelanggan agar jualan anda serta keuntungan anda sentiasa tinggi. Ramai
jug yang tidak tahu bagaimana untuk menjalankan strategi pemasaran yang mudah
dan berkesan untuk perniagaan mereka. Sebagai usahawan, produk atau
perkhidmatan anda pasti alan gagal jika ianya tidak dipasarkan dengan betul dan
di sinilah pentingnya untuk anda bersedia “kembali ke sekolah”,
kembali meningkatkan ilmu pemasaran anda dengan belajar melalui buku-buku
ataupun menghadiri seminar-seminar keusahawan atau pemasaran agar perniagaan
anda tidak ketinggalan. Anda pasti hampir gagal jika pesaing anda mempunyai
ilmu pemasaran yang lebih hebat daripada anda walaupun mungkin produk atau
perkhidmatan mereka tidaklah sehebat produk anda!



Bye,